KOTA BHARU 7 Julai – Kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan bertempat di Kompleks Kota Darul Naim.
MBM diketuai Sdr. Mohd Izham Ahmad, Bendahari Kehormat MBM yang hadir mewakili Presiden MBM manakala MGBK dihadiri oleh Sdr. Khairul Azhar Kamaruzaman (Presiden) dan beberapa orang kepimpinannya.
Pertemuan telah membincangkan beberapa perkara penting berkaitan hala tuju dasar belia, penyelarasan antara MBM, MGBK dan pihak kerajaan negeri serta usaha memperkukuh jaringan pertubuhan belia di peringkat negeri dan jajahan.
Ia juga menjadi wadah memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dan NGO belia agar lebih efektif, inklusif dan berpaksikan nilai perpaduan.
MBM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian YB menerima kunjungan ini serta keterbukaan beliau dalam mendengar dan mempertimbang aspirasi serta suara anak muda khususnya di Negeri Kelantan.




