Oleh :
Nuriffah Atiqah Binti Ismail
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia /
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan & Pembangunan Bakat
1. Pendahuluan: Antara Empati dan Empty (Kekosongan)
“Aqal adalah alat yang paling mulia dalam diri manusia; dengannya manusia membezakan antara benar dan salah, dan dengannya juga peradaban dapat ditegakkan.” (Al-Muqaddimah)
Bagi Ibnu Khaldun, kesejahteraan minda (mental equilibrium) ialah asas kemajuan bagi sesuatu tamadun. Bila akal manusia terpelihara daripada tekanan, ketakutan dan kezaliman, barulah lahir masyarakat yang adil dan berdaya. Oleh itu, dapatlah difahami bahawa kesejahteraan minda bukan sekadar tentang kemampuan untuk terus bertahan, tetapi keupayaan untuk memelihara dan memahami diri sendiri dengan nilai empati. Seiring dengan situasi masyarakat yang sering menyanjungi produktiviti, ramai wanita akhirnya memilih untuk hidup “penuh kegembiraan di luar, namun kosong di dalam”. Mereka diserang tekanan kerja, tanggungjawab keluarga, beban ekonomi dan harapan sosial yang tidak pernah surut. Menurut National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, kadar simptom tekanan dan keresahan meningkat, dan wanita mencatatkan angka lebih tinggi berbanding lelaki. Kekosongan dalaman ini sering tidak kelihatan, tetapi ia melemahkan akar kesejahteraan. Maka, penting untuk kita membina budaya empati kepada diri sendiri dan antara sesama wanita. Kesejahteraan hendaklah disuburkan dengan kebahagiaan yang sebenar, yang tidak diukur dengan nilai pencapaian materi semata-mata sama ada dalam bentuk gaji, rupa ataupun kejayaan kerana kesejahteraan sebenar dalah salah satu bentuk keupayaan untuk berdamai dengan diri, menerima kelemahan, dan tetap bergerak dengan kesabaran serta hikmah kebijaksanaan.
2. Belia: Antara Aspirasi dan Tekanan Digital
Generasi muda wanita hari ini membesar di tengah gelombang paradoks yang menjadikan mereka lebih berpendidikan, lebih vokal, tetapi juga lebih terdedah kepada tekanan mental yang mengisi kekosongan. Dunia digital yang sepatutnya membuka peluang, kini menjadi ruang perbandingan dan penilaian tanpa henti. Menurut NHMS 2023 juga, satu daripada empat individu dewasa muda menunjukkan simptom keresahan, dan kadar tertinggi datang daripada golongan wanita muda. Mereka sering berasa “tidak cukup” dari pelbagai aspek sehinggakan hilang nilai empati pada diri. Bersikap empati terhadap diri sendiri amat jarang diajarkan, sedangkan itulah asas ketahanan emosi. Pendidikan kesihatan mental seharusnya menjadi sebahagian daripada sistem pembelajaran yang bukan hanya sekadar bertujuan menangani krisis, tetapi mencegah kekosongan batin yang semakin membarah. Minda belia wanita yang sejahtera akan dapat melahirkan kepimpinan yang lebih tinggi nilai empati dan progresif. Dalam dunia yang sering menuntut kesempurnaan luaran, wanita muda perlu diajarkan bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan sebenar bermula daripada kemampuan untuk memahami dan mencintai diri sendiri.
3. Ibu Muda & Ibu Tunggal: Antara Harapan, Stigma dan Daya Hidup
Empati paling tulen lahir daripada mereka yang pernah terluka. Ibu muda dan ibu tunggal di Malaysia adalah cerminan kekuatan yang masih tidak diangkat secukupnya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ribuan wanita menjadi ibu tunggal setiap tahun dan ramai antara mereka menanggung tanggungjawab keluarga tanpa sokongan mencukupi. Dalam laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, kes kehamilan remaja masih berlaku, menunjukkan perlunya pendidikan seksual dan reproduktif yang menyeluruh, bukan menghukum tetapi mendidik. Di tengah stigma dan kekangan ekonomi, minda mereka sering dibebani rasa bersalah dan penat yang tidak tertulis. Di sinilah empati masyarakat akan diuji; tentang sejauh mana kita benar-benar memahami beban mereka tanpa menghakimi. Negara yang mengangkat kesejahteraan wanita mesti meletakkan ibu muda dan ibu tunggal sebagai keutamaan dengan menyediakan akses kepada latihan kemahiran, penjagaan anak bersubsidi dan sokongan psikososial. Kesejahteraan minda mereka bukan belas kasihan, tetapi tanggungjawab sosial yang perlu disemai dengan kasih dan maruah.
4. Dari Empati ke Dasar: Menyembuhkan Kekosongan Sosial
Kesejahteraan minda wanita tidak boleh dicapai dengan mudah hanya dengan nasihat motivasi semata-mata jika tidak disulami dengan dasar yang memahami. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita Malaysia kekal sekitar 56% (Laporan Tenaga Buruh 2023), lebih rendah daripada negara jiran. Ramai wanita memilih untuk mengundur diri dalam dunia kerjaya disebabkan sistem yang tidak menyokong kesejahteraan mereka seperti tiadanya fleksibiliti kerja, tiada akses penjagaan anak, dan budaya patriaki yang masih menunjukkan kewujudan stigma terhadap peranan gender. Akhir kepada kepincangan ini telah mencerminkan bahawa sistem yang sedia ada gagal menunjukkan dasar empati terhadap golongan wanita. Dasar yang berpaksikan empati ialah dasar yang mendengar, menyesuaikan dan memulihkan. Oleh itu, hal-hal seperti pendidikan kesihatan mental sejak sekolah, polisi kerja mesra keluarga, sokongan bagi ibu muda/tunggal perlu dijadikan sebahagian dari teras agenda nasional. Hal ini kerana, empati yang dibina tanpa dasar yang tidak berstruktur pasti akan menemui jalan mati, begitu juga sekiranya dasar yang dibina dengan kekosongan tanpa nilai empati pasti akan terhenti. Antara Empati dan Empty, negara mesti memilih untuk memelihara dan memahami demi kemaslahatan seluruh ibu pertiwi.
Tarikh : 13 Oktober 2025
* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis