PORT DICKSON 15 Mac – Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Dhanesh Basil telah mewakili Presiden MBM menghadiri Tamil Annual Conference Methodist Youth Fellowship Youth Camp 2026 yang berlangsung di Glory Beach Resort, Port Dickson.
Program yang menghimpunkan seramai kira-kira 600 belia dari seluruh negara ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan, kepimpinan serta semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Dalam ucapannya, Sdr. Dhanesh menekankan peranan strategik MBM sebagai badan induk belia dalam menyatukan suara anak muda serta menyediakan pelbagai peluang pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan dan penglibatan dalam proses pembangunan negara.
“Belia hari ini bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi rakan strategik dalam membina negara yang inklusif, progresif dan bersatu padu,” ujar beliau.
Beliau turut menggalakkan para peserta untuk merebut peluang yang disediakan oleh MBM termasuk program latihan kepimpinan, jaringan antarabangsa serta platform advokasi belia.
Selain itu, program ini turut menjadi medan memperkukuh nilai perpaduan dan keharmonian antara kaum melalui interaksi, aktiviti berkumpulan dan perkongsian pengalaman dalam suasana yang inklusif dan saling menghormati.
Untuk rekod, Persatuan Belia Methodist merupakan antara pertubuhan belia terawal di negara ini yang memainkan peranan penting dalam usaha penubuhan MBM sekitar era 1950-an, sekali gus mencerminkan sejarah panjang kerjasama rentas komuniti dalam gerakan belia negara.
Turut hadir ialah Rev. Dato’ Jonathan Jesudas, mantan Presiden Persatuan Belia Methodist yang juga mantan Exco MBM, serta Sdr. Alfred, Presiden Persatuan Belia Methodist.
Penganjuran kem ini dilihat selari dengan aspirasi MBM dalam memperkasa belia sebagai agen perpaduan, selain menyokong usaha kerajaan dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu di bawah semangat Malaysia MADANI.


