|
Oleh Amirullah Andi Nur
Ketua Menteri minta tidak tunggu saat akhir kenal pasti pemimpin belia berkebolehan untuk jadi pewaris pentadbiran masa depan
KOTA KINABALU: Sejak mencapai kemerdekaan, warga Malaysia beruntung kerana wujud kesinambungan pentadbiran dan kelancaran peralihan tampuk pemerintahan negara yang memberi ruang rakyatnya hidup dalam harmoni.
Dengan jutaan cabaran global menanti, tidak hairanlah jika pelbagai pihak memberi tumpuan khusus terhadap golongan belia yang dilabel sebagai aset pimpinan masa depan dan pewaris kepada pentadbiran negara.
Langkah kerajaan meletakkan belia sebagai kumpulan sasar utama menerusi aspek pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) cukup membuktikan betapa tingginya kedudukan golongan itu pada mata pemimpin negara.
Di Sabah, usaha memacu golongan belia menjadi sumber modal insan yang berkualiti, berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif di samping memiliki dan mengamal nilai positif sentiasa dititikberatkan.
Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, tidak ketinggalan dalam memberi penekanan terhadap kepentingan usaha membangunkan belia yang memerlukan sokongan pelbagai pihak.
"Barisan pimpinan belia mesti memastikan mereka mempunyai pelapis dan pewaris yang mantap serta berkebolehan mentadbir negara dalam jangka panjang.
"Fungsi belia tidak boleh dipandang remeh dan paling penting, jangan tunggu ke saat akhir untuk mengenal pasti pemimpin berpotensi kerana asas perlu dibentuk sejak awal supaya proses pembangunan dapat diteruskan dengan licin.
"Kerajaan Sabah memperakui kepentingan belia dan mahu semua pihak menyokong apa juga usaha ke arah melahirkan modal insan yang mempunyai nilai murni, jati diri kukuh, berintegriti dan daya juang secara menyeluruh," katanya.
Selaku antara penggerak utama, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengakui generasi muda kini perlu menyemai kesungguhan dan berjiwa merdeka, berfikiran kreatif serta inovatif memandangkan cabaran sejagat yang menanti bukan calang-calang.
"Belia Sabah perlu menyahut cabaran untuk menjadi antara yang terbaik supaya mereka boleh tergolong dalam kelas tersendiri ke arah menyahut seruan kerajaan yang mahu melahirkan modal insan kelas pertama," katanya.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Datuk Lajim Ukin, berkata kesungguhan kerajaan dalam membangun dan mengurus modal insan sememangnya terserlah melalui penyaluran peruntukan yang besar bagi tujuan itu dalam RMK-9.
MBS selaku badan induk pertubuhan belia di negeri ini, katanya, sedia menggalas tanggungjawab dalam memastikan hala tuju itu tercapai.
"Pelbagai program yang dilaksanakan MBS ketika ini adalah selari dengan kehendak, kesesuaian dan tuntutan semasa, selain bergerak seiring dengan kementerian serta Jabatan Belia," katanya.
Pengerusi Persatuan Belia Suara Tenghilan, Albert Joseph, berkata pembangunan modal insan hanya akan berjaya jika golongan belia sedia berubah dan melihatnya sebagai sesuatu yang positif.
Katanya, pendekatan yang digunakan juga perlu sesuai dengan keperluan dan minat golongan terbabit kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan melunturkan minat mereka untuk menyertainya.
"Sebagai contoh, pendekatan berbeza perlu digunakan ke atas belia yang menetap di bandar dan luar bandar kerana citarasa masing-masing berlainan, berdasarkan persekitaran serta latar belakang," katanya.
Penerima Anugerah Kewartawanan Belia Sabah, Zulhayati Dzulkifli, berkata kejayaan program pembangunan belia atau modal insan banyak bergantung kepada maklum balas golongan terbabit.
"Kita perlu mengadakan lebih banyak dialog dan program bersemuka dengan belia supaya pemimpin mengetahui kehendak dan keperluan generasi muda.
"Pemikiran golongan dewasa dan belia adalah berbeza, justeru sebelum merancang atau melaksanakan sesuatu, kita mesti mengetahui dan memahami apa yang diperlukan sebenarnya," katanya.
Pemenang Anugerah Belia Wira Tani 2006, Rosmah Norhayati Titing, berkata kejayaan belia dalam membentuk keperibadian mulia berjaya bergantung kepada kesungguhan sendiri.
"Minat dan kesungguhan meneroka peluang seperti di bidang pertanian perlu sentiasa mekar sepanjang masa... kita tidak boleh terlalu memilih jika hendak berjaya," katanya.
Penolong Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Sabah, Normah Jaffar, berkata belia memerlukan perhatian sepanjang masa bagi memastikan mereka memahami hala tuju dan agenda negara.
"Sokongan dan panduan mesti diberi supaya belia tidak hilang arah... jangan letakkan harapan tinggi tetapi mereka tidak diberi dorongan," katanya.
INFO
Pemenang Anugerah Belia Negara peringkat Sabah 2006 · Anugerah Perdana Pertubuhan Belia - Pergerakan Pemuda Malaysia cawangan Sandakan · Anugerah Tokoh Belia Lelaki - Liew Kuoh Yit · Anugerah Tokoh Belia Wanita - Normah Jaffar · Anugerah Pemimpin Belia Berjasa - Roger Dunstan · Anugerah Kesukarelaan - Albert Joseph · Anugerah Belia Wira Tani - Rosmah Norhayati Titing · Anugerah Kewartawanan Belia (Bahasa Melayu) - Amirullah Andi Nur · Anugerah Kewartawanan Belia (Bahasa Inggeris) - Zulhayati Dzulkifli · Anugerah Kewartawanan Belia (Bahasa Cina) - Wang Chee Shian · Anugerah Belia Niaga - Siti Rodziah Alipudin · Anugerah Perdana Pertubuhan Belia peringkat bahagian - Persatuan Pergerakan Pemuda Malaysia Sandakan · Anugerah Tokoh Remaja - Irma Nurzahirah Junian ©The New Straits Times Press (M) Berhad |