ADDIS ABABA 20 Nov — Kerjasama Selatan-Selatan kini memasuki fasa baharu dengan Forum Belia Afro-Malaysia yang penuh bertenaga di Addis Ababa Ethiopia.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan utama apabila menyampaikan Syarahan Khas “Partnership for Shared Prosperity” di Hotel Sheraton di sini.
Forum anjuran bersama Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Ethiopia dan Kesatuan Belia Pan-Afrika ini menghimpunkan 250 pemimpin belia dan mahasiswa dari Afrika dan Asia.
Syarahan Perdana Menteri menekankan visi memperkukuh pakatan antara Afrika (wilayah kaya sumber dan pesat membangun) dan Malaysia (ekonomi berorientasikan inovasi).
Ini bukan sekadar perdagangan, teras kerjasama baharu ini adalah modal insan, ekosistem inovasi, keusahawanan dan ekonomi hijau dengan belia sebagai tunjang utama untuk membina masa depan bersama.
Sambil menggesa masyarakat dan negara yang telah mencapai kemerdekaan supaya bebas menentukan hala tuju sendiri, beliau berkata belia Malaysia dan Afrika perlu terlibat secara langsung dalam pembinaan semula negara dan ekonomi mereka sendiri.
“Oleh itu, belia mesti menimbang dan membuat keputusan sendiri dalam membentuk masa depan Afrika dan Asia,” katanya sambil menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam menentukan hala tuju negara masing-masing.
Hadir sama Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia Ergoge Tesfaye, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.
Program kelolaan MBM ini merupakan salah satu pengisian sempena lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke negara terkenal dengan julukan “Tanduk Afrika” itu.















































































































